Taman Perpaduan
Sukan

HOME

Mukadimah | Peta | Isu Semasa | Hal Setempat | Hal Ipoh | Hal Negara | Hal Dunia | Hal Politik | Sukan | Aktiviti Lalu | Sudut Ilmu | Rencana

 
FAM TIDAK TERIMA KRITIKAN

(06.04.02)Pasukan Perak yang bermain dengan kecemerlangan yang lebih pada musim ini gagal untuk menggembirakan hati penyokongnya dengan kontroversi berhubung tindak tanduk badan induk yang mengendalikan mutu pengadilan bolasepak di negara ini.Sebenarnya, dalam perkara berkaitan menaikkan mutu bolasepak negara,mutu pengadilan tidak seharusnya diabaikan begitu sahaja. Mungkin pendekatan yang digunakan adalah memadai akan tetapi seperti mana yang kita sedia maklum ianya tidaklah menggalakkan. Diburukkan lagi, pihak ini seolah-olah terlalu profesional sehingga tidak mampu menerima kritikan terbuka.

Perkara ini harus merika lihat sebagai sesuatu yang memburukkan reputasi mereka sendiri dengan meletakkan sesuatu penilaian yang membolehkan kewibawaan mereka boleh dipertikaikan.

FAM seharusnya menilai mutu pengadilan sesuatu perlawanan dan perlu bagi mereka untuk membandingkannya dengan mutu pengadilan perlawanan bolasepak Liga Inggeris, Liga Sepanyol atau Liga Eropah yang ternyata tahap profesionalisma mereka melangkaui tahap tempatan. Tiada gunanya bersikap kepoh terhadap mutu permainan bolasepak tempatan sekiranya mutu pengadilan terus dibiarkan diwisel pengadil yang lekas kalut, berkecenderungan terpengaruh dengan penonton dan yang lebih buruk, gagal membuat keputusan yang profesional.

 
PERAK TERUS KUKUH
 
Penguasaan pasukan Perak didalam Perdana Satu terus kukuh setelah berjaya menjulang piala liga musim lalu. Kehangatan saingan musim ini bertambah hangat apabila Perlis dan Pahang semakin garang untuk merampas takhta liga.
 
Kecemerlangan pasukan Perak kini menjadi tamparan kepada agensi berita sukan yang sememangnya kurang profesional di Malaysia kerana menunjukkan sikap pro-Selangor mereka. Sikap begitu difahami oleh  penyokong pasukan Perak sejak sekian lama sebagai tindakan mengampu atau menjaga 'kabel'.
 
Pasukan Perak yang dilabel sebagai pasukan penuh kontroversi semenjak bertahun lalu kini terus memburu gelaran mendapatkan Piala Liga buat kali kedua semenjak 1989. Tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh pasukan Perak dibawah bimbingan Tony Netto, jurulatih dari Brazil perlulah dijadikan kayu ukur betapa jurulatih-jurulatih dari negara yang telah maju bolasepaknya diperlukan dalam rencah bolasepak Malaysia yang tawar hambar.
 
Diharapkan Perak akan berjaya menggandakan kejuaraan tahun ini dengan kegemilangan yang belum pernah dirasai oleh Peminat Kejor Yop Kejor selama ini.

BOLASEPAK TAMAN PERPADUAN MUNDUR
 
Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, ada usaha yang dilakukan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Caw. Tmn Perpaduan untuk menubuhkan pasukan bolasepak untuk beraksi dalam Liga Ipoh. Namun, usaha ini masih belum menjadi kenyataan apabila tiada komitmen dan pengorbanan yang sanggup dibuat oleh pemain-pemain ini walaupun mereka beria-ia untuk menyertai Liga Ipoh.
 
Seharusnya perlulah ada usaha kedua belah pihak, iaitu pengurusan dan pemain untuk saling berkorban masa dan wang dalam memberikan komitmen untuk merealisasikan impian ini.
 
Tetapi apa yang dapat dilihat, pemain-pemain terus-terusan mengharapkan bantuan dari pihak 'penaja' iaitu sebuah parti politik yang tidak mendapat apa-apa bantuan untuk menaja mereka. Mungkin mereka masih belum memahami dunia politik sebenar yang tidak ada sogok menyogok dan lapik-melapik. Soalnya bilakah semua pemain ini akan menyedarinya?

MUTU BOLASEPAK MALAYSIA DIPENGARUHI PENGURUSAN CACA MARBA
 
Sememangnya cita-cita untuk melihat kejayaan negara Malaysia dibidang bolasepak diimpikan oleh setiap rakyat Malaysia yang menyedari bahawa sejarah bolasepak di negara ini telah bermula semenjak lebih 70 tahun yang lalu. Namun pihak yang bertanggungjawab untuk menjamin mutu bolasepak tanahair di dalam FAM yang perlu dituduh gagal untuk memenuhi cita-cita rakyat Malaysia ini.

Berdasarkan bualan ramai peminat bolasepak, FAM dikatakan enggan bekerjasama dengan jurulatih-jurulatih asing berwibawa mungkin atas sebab jurulatih tersebut memberi teguran atau mengkritik cara pengendalian bolasepak tanahair. Buktinya Karl Heinz Weigang yang berjaya membawa skuad kebangsaan ke tahap yang boleh dibanggakan awal tahun 1980an menerima nasib malang apabila dicampakkan oleh FAM dengan aibnya atas 'keceluparan' beliau.

Bagaimana pula dengan memberi peluang kepada jurulatih tempatan yang tidak ada idea bernas menjawab soalan-soalan kritik, kurang mahir mengatur strategi, tiada pengalaman dengan bolasepak antarabangsa dan paling malang sekali ialah mempunyai sikap memilih hanya 'anak-anak buah' kesayangan yang boleh dianggap 'kuda tua' untuk beraksi mewakili Malaysia.

Tidak hairanlah Malaysia kini bukan seperti di tangga 102 seperti yang dinyatakan oleh saudara Zukri, tetapi ditangga 112 jauh ditinggalkan Indonesia ditangga 92 dan Thailand di tangga 60. Ini amatlah memalukan disebalik usaha-usaha Malaysia untuk memajukan bidang-bidang sukan atas nama pelaburan. Bukankah pasukan-pasukan yang beraksi di dalam pusingan akhir Piala Dunia telah berjaya 'menjual' nama negara mereka kepada 6 billion penduduk dunia.

Bolasepak, sukan paling popular didunia gagal dimajukan sebaiknya. Mengikut kedudukan senarai pasukan bolasepak yang dikeluarkan oleh FIFA, pada tahun 1993, Senegal berada di tangga ke 63, Malaysia di tangga ke 77 manakala Afrika Selatan ditangga ke 96. Pada tahun 2002, apabila Senegal kini ditangga ke 43, Malaysia ditangga ke 112 dan Afrika Selatan di tangga ke 36. Mengapa punca kejatuhan ini tidak disiasat? Apakah kelemahan yang cuba disembunyikan?

Di manakah kredibiliti, pengurusan yang terkini dan juga kesedaran pegawai-pegawai FAM dalam membentuk generasi pemain bolasepak yang bukan lembik dan lembab seperti hari ini? Apakah tiada rasa malu yang timbul pada diri mereka atas aib yang diterima oleh pasukan bolasepak negara? Terdapat ratusan pemain berbakat di luar sana mengadu diketepikan dalam pemilihan atas dasar kronisma dan nepotisma! Ini adalah sangat tidak realistik! Bahkan ada juga pemain-pemain liga profesional dapat dilihat keluar ke kelab malam dan ada juga walaupun kurang, merokok demi gaya.

Soal disiplin dan mentaliti untuk membentuk stamina dan semangat juang telah semakin luntur untuk dimajukan oleh pengurusan bolasepak kebangsaan. Apa yang dihasilkan adalah persembahan bolasepak yang hanya layak untuk disetarafkan dengan perlawanan antara sekolah.

Jika Malaysia mampu untuk mengambil jurulatih asing yang muda dan mempunyai kemahiran terkini bolasepak antarabangsa tidak mungkin mereka akan mengecewakan harapan rakyat Malaysia untuk melihat 'anak-anak buah' mereka pula yang terdiri dari bakat-bakat muda untuk beraksi mewakili nama Malaysia yang semakin dikenali di mata dunia.

Harapan saya dan peminat-peminat bolasepak tanahair, dengan tamatnya hasil tajaan RM30 juta setahun oleh Dunhill FAM akan dikerah untuk berubah oleh penaja-penaja baru yang mahukan bolasepak menjadi pelaburan yang memberi keuntungan yang menghiburkan, bukan kerugian yang membosankan.
 
Syamsul Safyan Othman
Pemain Meritokrasi
Ipoh

Diuruskan Oleh
logo.jpg
BERSETIA ENTERPRISE
Taman Perpaduan